5 perubahan besar guru pada tahun 2020. Terbaiklah!

Tahun 2020 mencatat sejarah yang tersendiri apabila Malaysia turut dilanda wabak pandemik COVID-19. Semua sekolah ditutup bagi mengekang penularan wabak tersebut dan PKP mula dilaksanakan. Maka, bermulalah juga perubahan terhadap tugas dan penglibatan guru dalam memastikan PdPc tetap terus berjalan akibat daripada penutupan sekolah. Berikut adalah 5 perubahan besar guru sepanjang tempoh PKP.


1. Penggunaan Google Classroom secara meluas

Lebih ramai guru yang menggunakan Google Classroom sebagai medium untuk menyampaikan pengajaran. Guru mewujudkan kelas secara maya dan pelajar pula menyiapkan dan menghantar tugasan yang diberikan guru di dalam Google Classroom. Aplikasi yang tersusun secara sistematik dan teratur ini, sangat memudahkan guru untuk menyemak tugasan yang dihantar oleh pelajar. Malah, guru juga boleh kenal pasti pelajar yang belum membuat tugasan. Senang nak pantau penglibatan pelajar!


2. Guru mula menghasilkan video PdPc untuk pelajar

Tidak dinafikan ramai guru di luar sana yang telah menghasilkan video PdPc sejak sekian lama. Nama seperti Cikgu Romie dan Cikgu Hailmi sudah tidak asing lagi di kalangan warga pendidik di Malaysia. Video-video yang dihasilkan sangat berguna dan menjadi rujukan dan panduan buat semua, baik guru mahupun pelajar. Turut disenaraikan adalah Cikgu Razif ataupun lebih dikenali sebagai Cikgu Siber yang aktif berkongsi penggunaan aplikasi di dalam Ipad bagi menghasilkan video menarik.

Trio utama Pasukan Cikgootube ni, berjaya menarik minat lebih ramai guru untuk menghasilkan video PdPc. Penghasilan video PdPc dilihat sebagai keperluan bagi memastikan pelajar dapat belajar walaupun tidak dapat ke sekolah. Walaupun ada guru yang baru belajar menghasilkan video, tetapi video-video yang dihasilkan mendapat jumlah tontonan yang tinggi dan subscribers mencecah 1k dalam masa yang singkat . Wow! kagum sangat tau! Tapi harus diingat kembali niat dan matlamat asal guru menghasilkan video.

Turut tidak dilupakan, Cikgu Siti Share yang juga merupakan ahli pasukan Cikgootube, turut mendapat perhatian akhbar, steven tv dan radio setelah video PdPc nya yang menggunakan green screen menjadi tular di media sosial. Pujian harus diberikan buat semua guru yang banyak menghabiskan wang ringgit untuk membeli peralatan kelengkapan video serta masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan sesebuah video. ’Work from home’ bukan sesuatu yang mudah tetapi ternyata guru berjaya mengatasinya demi anak murid!


3. Membuat kelas secara atas talian

Selain menghasilkan video, guru juga banyak membuat kelas secara atas talian sama ada melalui aplikasi Zoom, Google Meet dan juga Microsoft Team. Ada yang buat kelas untuk anak murid sendiri dan ada juga pihak yang menganjurkan kelas secara atas talian seperti yang dilakukan oleh eDIDIK, Digital Classroom dan lain-lain. Walaupun tak semua pelajar dapat terlibat menghadiri kelas, namun guru tetap bersemangat mengajar. Yang membuatkan hati seorang guru terubat, ialah apabila pelajar yang sebelum ni di dalam kelas, suara pun susah nak dengar, tapi sangat aktif pula bertanya dan menjawab soalan. Guru memang seronok sangat bila pelajar terlibat secara aktif di dalam kelas walaupun hanya bersua muka secara maya saja.


4. Aktif tambah ilmu dengan menyertai webinar, kursus atau bengkel secara atas talian

Pantang ada saja bengkel/kursus/webinar yang dianjurkan, pasti ramai guru yang akan sertai untuk tambah ilmu masing -masing. Semua ilmu yang diperolehi adalah untuk digunakan bagi memantapkan penyediaan bahan PdPc dan untuk menambah kemahiran dan pengetahuan tentang teknologi. Yang syoknya, guru yang dulunya tak tau, sekarang dah boleh ajar guru lain pula. Kagum sangat! Selain itu, guru juga mengambil peluang memasukkan penglibatan di dalam setiap bengkel/kursus/webinar untuk dicatatkan dalam SPLKPM bagi melengkapkan bilangan hari berkursus. Pemberian sijil setiap kali berakhirnya program, menambah semangat guru-guru. Tapi diingatkan, janganlah taksub sangat dengan sijil. Yang penting, ilmu yang diperolehi. Ok?


5. Mengadakan Sambutan Hari Guru 2020 secara atas talian

Sambutan Hari Guru 2020, Peringkat Kolej Vokasional Kuala Kangsar

Hahaha…yang ni memang rare kan. Selalunya kita sambut Hari Guru siap ada tema bagai. Guru dan pelajar terlibat buat persembahan di Hari Guru. Tapi tahun 2020 ni memang mencipta kelainan dan keunikan yang tersendiri. Semuanya kerana kita semua masih dalam tempoh PKPB sekarang. Masih lagi perlu ’stay at home’. Makanya sambut Hari Guru dari rumah saja. Walaupun sambut dari rumah saja, namun kemeriahan tetap dirasai. Pelbagai peringkat telah menganjurkan Hari Guru. Tak ketinggalan adalah pasukan Cikgootube. Memang sangat meriah dan best dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan dan guru-guru yang boleh memberi ucapan secara langsung di Youtube Channel Cikgootube. Awesome! Sambutan Hari Guru di sekolah saya adalah melalui aplikasi Google Meet. Tahun ni juga memberi kenangan manis buat diri saya apabila dipilih sebagai Tokoh Guru sempena Sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Kolej Vokasional Kuala Kangsar. Penghargaan yang diberikan ini, buat saya lebih bersemangat. Walau bagaimanapun, sentiasa ingatkan diri agar kekal bersemangat tak kira apa jua keadaan.